Ujian pengesanan ke Langkawi dihenti

PUTRAJAYA 12 Okt. – Kementerian Kesihatan menghentikan keperluan ujian pengesanan Covid-19 sebelum pelancong memasuki Pulau Langkawi, berkuat kuasa serta-merta, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun sebagai langkah mengukuhkan tindakan kesihatan awam, pelancong  digalakkan untuk menjalani ujian kendiri sebelum memulakan perjalanan ke pulau berkenaan.

Setakat Ahad lalu, seramai 54,341 pelancong sudah menjalani ujian pengesanan Covid-19 dan hanya 216 (0.4 peratus) dikesan positif.

Katanya, hanya seorang pelancong yang mengalami gejala ketika berada di Langkawi dan didapati positif Covid-19 melalui ujian RT-PCR.

Hasil siasatan mendapati punca jangkitan bukan di Langkawi dan tiada kluster Covid-19 yang berpunca daripada gelembung pelancongan di Langkawi. Sehubungan itu, KKM menyemak semula keperluan pengujian status jangkitan Covid-19 sebelum melancong ke Langkawi.

“Mengambil kira peratus sangat rendah pelancong yang dikesan positif ketika saringan, KKM memutuskan untuk memberhentikan keperluan ujian pengesanan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketika projek rintis gelembung pelancongan Langkawi bermula 16 September lalu, semua pelancong diwajibkan menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan ke pulau itu.

Ujian pengesanan sama ada secara RT-PCR atau RTK-Antigen itu perlu dilakukan di mana-mana fasiliti kesihatan serta makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas.

Dalam pada itu, Khairy berkata, syarat wajib vaksinasi Covid-19 yang lengkap bagi semua pelancong dewasa, masih kekal dan perlu dipatuhi.

“Bagi individu yang mengalami gejala seperti demam, batuk dan selesema, mereka dinasihat menangguhkan dahulu perjalanan.

“Keluarga Malaysia mesti bertanggungjawab dalam usaha mencegah penularan jangkitan Covid-19.

“Kerajaan dan seluruh petugas barisan hadapan kesihatan serta keselamatan sudah melakukan yang terbaik untuk merawat dan mengawal penularan Covid-19 dalam negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment