MAIWP rai 100 pasangan pengantin di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bercadang meraikan 500 pasangan pengantin dalam kalangan asnaf, miskin dan mualaf sepanjang tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata, melalui skim bantuan perkahwinan itu, MAIWP bukan sahaja akan memberi bantuan kewangan tetapi juga mengadakan kursus tatacara perkahwinan.

Di samping itu MAIWP turut mempertimbangkan untuk menyemak bantuan bulanan termasuk bagi skim bantuan perkahwinan mengambil kira keadaan inflasi dan kos semasa yang meningkat.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Walimatul Urus Perdana bersempena Karnival MAIWP 2023, di Dataran Merdeka, hari ini.

Buat julung kalinya MAIWP meraikan 100 pasangan pengantin dalam kalangan asnaf, miskin dan mualaf pada majlis gilang-gemilang bertemakan, ‘Nostalgia Adat Istiadat Kegemilangan Melayu Islam’.

Kesemua pasangan yang diraikan diarak menaiki bas Hop On Hop Off mengelilingi Jalan Raja Laut, kemudian disandingkan dan diraikan untuk acara makan beradab sepanjang satu kilometer (km).

Pasangan pengantin berkenaan adalah penerima skim bantuan perkahwinan yang ditawarkan MAIWP sejak 2016.

Ia adalah salah satu skim bantuan zakat daripada 30 (skim) ditawarkan oleh MAIWP yang bertujuan meringankan beban bakal pengantin untuk mengadakan majlis kenduri kahwin dengan setiap pengantin menerima bantuan antara RM3,000 hingga RM5,000.

Selain itu, pasangan turut menerima wang tunai RM2,000 dan sepersalinan pakaian berserta perhiasan.

Mohd Na’im turut melancarkan kempen Jom Kahwin di Wilayah Persekutuan khusus untuk masyarakat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Kempen itu bermatlamat memupuk kesedaran dalam kalangan pasangan yang bakal berkahwin mengenai tanggungjawab dan peranan dalam membina rumah tangga yang harmoni.

Katanya, kempen yang akan dimulakan dalam masa terdekat itu bakal berlangsung sepanjang tahun dengan pelbagai pengisian termasuk kursus kekeluargaan dan terbuka kepada pasangan yang bermastautin sekurang-kurangnya setahun di Wilayah Persekutuan.

Related posts

Leave a Comment