‘Silap saya kadang kala tidak sehaluan’

JOHOR BAHRU 28 Jan. – Ketua UMNO Bahagian Tebrau,  Maulizan Bujang, reda dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi yang menggantung keahliannya selama enam tahun.

“Mungkin silap saya kerana kadang kala tidak sehaluan dengan Presiden. Takpe lah, mungkin ada hikmah disebalik apa yang berlaku,” kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Tiram itu melalui Facebooknya.

Beliau juga menjelaskan tidak dipanggil Lembaga Disiplin parti atau diberi peluang membela diri susulan penggantungan enam tahun yang diputuskan terhadapnya.

Maulizan yang mengakui amat menyayangi parti yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara itu mendoakan satu hari nanti UMNO dapat pulih semula dengan pemimpin dan kepemimpinan yang diterima bukan sahaja oleh ahli parti tetapi pengundi dan rakyat.

“Semoga UMNO dapat mengembalikan semula roh perjuangan yang berlandaskan asas penubuhan parti iaitu untuk menjaga agama, membela bangsa seperti termaktub dalam perlembagaan dan memajukan negara berbilang kaum yang tercinta ini.

“Saya mohon maaf kepada semua yang mengenali saya, baik dalam parti atau pun di luar sekiranya sepanjang khidmat saya sebagai pemimpin kerdil ini, ada kesalahan dan kesilapan tak disengajakan mahupun kekurangan pada diri saya,” katanya.

Maulizan memberitahu keterlibatannya dalam UMNO bermula daripada peringkat cawangan dan aktif dalam aktiviti kebajikan serta kemasyarakatan sepanjang menjadi ahli UMNO selama 42 tahun.

Related posts

Leave a Comment