Kes harian Covid-19 turun kepada 142

PUTRAJAYA 24 Jan. –  Jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 semalam menunjukkan penurunan dengan merekodkan 142 kes termasuk satu kes import berbanding 309 yang direkodkan kelmarin.

Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di portal KKMNow, dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 5,034,972 iaitu 4,996,372 kes tempatan dan 38,600 kes import.

Pada masa yang sama, untuk hari kedua berturut-turut tiada kematian baharu direkodkan dan ini bermakna jumlah kematian kekal 36,932 termasuk 7,866 kes di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID)

Sementara itu, kes aktif yang dilaporkan pada Isnin turun kepada 10,212 kes berbanding 10,337 dan daripada jumlah itu, sebanyak 9,859 kes atau 96.5 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.

Tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC), manakala 337 pesakit mendapat rawatan di hospital di mana 16 daripada mereka ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), dengan 11  pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Negara juga mencatatkan 267 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhan 4,987,828 pesakit pulih.

Sementara itu Selangor merekodkan 53 kes,  diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 27, Negeri Sembilan dan Melaka masing-masing 10 kes,  Johor 8, Wilayah Persekutuan Putrajaya 7, Kedah 6, Terengganu dan Perak masing-masing 4 kes.

Sarawak dan Pahang masing-masing 3 kes manakala Kelantan, Pulau Pinang dan Sabah masing-masing 2, Perlis 1 dan tiada sebarang kes di Wilayah Persekutuan Labuan.

Related posts

Leave a Comment