Lagi tiga ladang babi dijangkiti ASF

TANJONG 24 Jan. – Jumlah ladang yang terkena jangkitan penyakit demam babi Afrika atau ‘African swine fever‘ (ASF) di negeri ini meningkat kepada 21 setakat ini apabila tiga lagi ladang merekodkan kes baharu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata setakat semalam kes jangkitan ASF itu masih membabitkan ladang di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

Beliau berkata, untuk mengatakan keadaan bertambah buruk, terdapat ladang yang didapati negatif ASF hasil ujian saringan yang dilakukan.

Bercakap kepada pemberita hari ini, kerajaan akan memantau situasi ini secara berterusan dan dalam tempoh ini sejumlah 4,204 ekor babi daripada empat ladang di SPS selesai dilupuskan sepenuhnya.

Katanya, pemilik ladang terbabit perlu tampil terutamanya bagi tujuan permohonan pampasan yang akan diuruskan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“Dalam dua tiga hari ini kita akan buat persiapan meneruskan usaha (pelupusan babi) jadi penternak perlu tampil kerana sudah diumumkan ada pakej pampasan.

Mereka perlu memaklumkan kepada JPV untuk mengesahkan bilangan ternakan yang dilupuskan baru boleh mengemukakan tuntutan.

“Lagipun ini adalah wabak yang perlu dimaklumkan apabila berlaku dan ia turut termaktub di dalam akta dan wajib dilaporkan sekiranya terdapat kes jangkitan dalam ladang,” katanya.

Difahamkan nilai pampasan babi dewasa adalah antara RM400 dan RM800 dengan penternak perlu memenuhi syarat-syarat tertentu.

Khamis lalu media melaporkan sebanyak 18 ladang babi dengan jumlah 48,194 ekor babi terjejas akibat ASF di negeri ini dan berdasarkan rekod, terdapat sejumlah 124 ladang babi di Pulau Pinang iaitu 64 di SPU, 52 di SPS, empat di SPT dan empat di bahagian pulau membabitkan sejumlah 267,348 ekor babi.

(Foto FB Chow Kon Yeow)

Related posts

Leave a Comment