Waspada Covid-19 semasa perayaan

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina sambil mengingatkan warga Singapura untuk terus kekal berwaspada terhadap Covid-19 ketika sambutan perayaan dirai ‘sepenuhnya’ tahun ini.

Sambil mengharapkan mereka diberi kesihatan yang baik, Lee menyeru rakyat Singapura agar terus menjaga antara satu sama lain dan melaksanakan tanggungjawab sosial.

Dalam perutusan tahunannya sempena Tahun Baharu Cina, Lee berkata selama dua tahun perayaan itu disambut dalam keadaan sendu disebabkan pelbagai sekatan Covid-19, seperti had terhadap saiz kumpulan semasa perhimpunan sosial.

“Saya pasti perayaan tahun ini amat bermakna bagi ramai orang. Lohei akan dilambung lebih tinggi, sorakan ‘Huat ah’ akan menjadi lebih kuat, dan perhimpunan keluarga lebih meriah,” kata Lee.

Lee berharap ketika pelonggaran langkah-langkah sekatan semasa perayaan, orang ramai tidak melupakan kerja keras serta pengorbanan mereka yang berjuang di barisan hadapan untuk melawan Covid-19 dan memastikan Singapura terus maju.

Beliau juga mengingatkan bahawa meskipun keadaan kini stabil dalam negeri, varian-varian baharu masih boleh muncul dan membawa cabaran yang tidak diduga.

Justeru beliau menyeru rakyat Singapura menjalankan ujian kendiri ART apabila diperlukan, terutama sekali sebelum melawat saudara-mara warga emas.

Mereka juga dinasihatkan tidak keluar rumah jika berasa kurang sihat atau diuji positif Covid-19 serta mendapatkan perlindungaan vaksinasi Covid-19, termasuk mendapatkan vaksin bivalen terkini.

“Saya menggalakkan setiap orang memainkan peranan mereka menerusi langkah demikian yang kecil tetapi berkesan,” katanya.

Mengimbau kembali sambutan sebelum ini, Lee berkongsi bahawa pengalaman bersama ketika mengharungi Covid-19 membuat orang ramai lebih menghargai keluarga dan mereka yang tersayang.

“Keluarga merupakan teras kompak sosial kita, dan keluarga yang kuat adalah penting kepada masyarakat yang stabil dan berdaya tahan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment