Kes harian Covid-19 catat penurunan

PUTRAJAYA 21 Jan. – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 semalam menunjukkan penurunan dengan merekodkan 285 kes termasuk lima kes import berbanding 318 termasuk satu kes import yang dilaporkan kelmarin.

Dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan meningkat kepada 5,033,943 iaitu 4,995,630 kes tempatan dan 38,598 kes import.

Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di portal KKMNow, tujuh kematian direkodkan akibat wabak itu pada Jumaat dan ini menjadikan jumlah kematian setakat semalam sebanyak 36,930 orang.

Sebanyak 300 pesakit dilaporkan sembuh semalam yang membawa kepada jumlah keseluruhan kes sembuh dalam negara meningkat kepada 4,986,943 kes.

Sementara itu, kes aktif Covid-19 kini direkodkan adalah 10,355, turun 22 kes berbanding 10,377 kelmarin dan daripada jumlah itu, sebanyak 9,957 atau 96.2 peratus daripadanya merupakan individu dikuarantin di rumah.

Tiada pesakit ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), manakala 382 atau 3.7 peratus pesakit dirawat di hospital dan 16 daripadanya di unit rawatan rapi (ICU) di mana 14 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu Selangor merekodkan 98 kes, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 69, Melaka 21, Johor 15, Perak 14, Sarawak 13, Pulau Pinang 11, Negeri Sembilan 9, Wilayah Persekutuan Putrajaya 9! Kedah 8, Pahang 6, Sabah 4, Kelantan 3, Terengganu 3, Wilayah Persekutuan Labuan 1 dan Perlis 1.

Related posts

Leave a Comment