Tiada lagi kuarantin di Hong Kong

HONG KONG 20 Jan. – Pesakit Covid-19 di Hong Kong tidak lagi perlu menjalani kuarantin mulai 30 Januari ini, sebagai sebahagian strategi untuk mengembalikan bandar berkenan kepada kehidupan biasa.

Ketika ini mereka yang dijangkiti boleh menjalani kuarantin kendiri di rumah untuk minimum lima hari dan dibenarkan keluar jika ujian negatif selama dua hari berturut-turut.

Ketua eksekutif Hong Kong, John Lee, memberitahu ahli Parlimen bahawa keputusan itu didorong oleh kadar vaksinasi tinggi di bandar berkenaan selain imuniti masyarakat tempatan yang kuat.

Langkah itu juga sejajar dengan pemansuhan dasar sifar Covid-19 yang diambil China sejak 8 Januari lalu.

Berikutan itu, status Covid-19 juga ditukar daripada penyakit pernafasan yang serius kepada sejenis penyakit endemik.

Bagaimanapun, orang ramai tetap disaran memakai pelitup muka di lokasi awam dan tertutup, kecuali ketika bersenam.

Minggu lalu, perkhidmatan kereta api laju antara Hong Kong dan China disambung semula buat kali pertama sejak pandemik Covid-19.

Sepanjang pandemik coronavirus sejak tiga tahun lalu, Hong Kong turut mematuhi dasar sifar Covid-19 tanah besar China yang mewajibkan individu positif untuk menjalani kuarantin.

Sebahagian besar pesakit dihantar ke hospital atau pusat kuarantin dikendalikan kerajaan, walaupun hanya menunjukkan gejala ringan.

Related posts

Leave a Comment