318 kes baharu Covid-19 di Malaysia

PUTRAJAYA 20 Jan. – Sebanyak 318 kes baharu Covid-19 termasuk satu kes import dilaporkan di dalam negara semalam Khamis, berbanding 371 termasuk satu kes import yang direkodkan kelmarin.

Dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan meningkat kepada 5,033,943 iaitu 4,995,350 kes tempatan dan 38,593 kes import.

Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di portal KKMNow, tiada kematian yang direkodkan akibat wabak itu pada Khamis dan ini menjadikan jumlah kematian setakat semalam kekal 36,923 orang.

Sebanyak 331 pesakit dilaporkan sembuh semalam yang membawa kepada jumlah keseluruhan kes sembuh dalam negara meningkat kepada 4,986,643 kes.

Sementara itu, kes aktif Covid-19 kini direkodkan adalah 10,377 dengan 9,960 atau 96 peratus daripadanya merupakan individu dikuarantin di rumah dan tiada pesakit yang ditempatkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Sebanyak 398 pesakit dirawat di hospital dengan 19 daripadanya di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 15 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment