Perhimpunan Agung kuasa tertinggi Pejuang

SEPANG 18 Jan. – Keputusan Pejuang meninggalkan Gerakan Tanah Air (GTA) diputuskan secara kolektif oleh perwakilan yang hadir dan bukannya keputusan Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir.

Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid berkata, keputusan baru-baru ini dibuat oleh suara ahli akar umbi dari peringkat cawangan seterusnya di peringkat Negeri sebelum diangkat dan dibahas secara terbuka di Perhimpunan Agung.

Katanya, Perhimpunan Agung ke-2 memberi mandat penjalanan Pejuang dengan ketetapan yang diputuskan akar umbi sekaligus menunjukkan Pejuang menghormati proses demokrasi kepartian menurut Perkara 12.1 dalam Perlembagaan Pejuang.

“Demokrasi masih subur dalam Pejuang. Inilah perbezaan dengan parti atau pihak lain yang bersorak mengenai kononnya ingin menjaga maruah serta nasib orang Melayu, sebaliknya hanya ingin kekal berkuasa demi kepentingan peribadi,” katanya.

Beliau berkata mana-mana pihak wajar merujuk Perlembagaan Pejuang yang mengikat setiap ahli Pejuang mahupun pemimpin partinya sebelum mengulas lanjut berhubung isu ini.

“Datuk Wira Marzuki Yahya dan Khairuddin Abu Hassan yang cuba mengeruhkan keadaan dan memanipulasi fakta, hendaklah faham dan hormat konsep demokrasi,” katanya sambil menjelaskan semua komponen GTA telah dimaklumkan terlebih awal bahawa Perhimpunan Agung Pejuang akan membincang dan mengundi bagi isu ini.

Beliau juga menyifatkan kritikan dari mantan pimpinan Pejuang ini tidak lain hanyalah menggambarkan bahawa mereka ini sebenarnya hanya menggunakan imej seorang negarawan untuk tujuan agenda peribadi.

Katanya, sebuah Jawatankuasa Penilai Bebas akan dibincangkan dan ditubuh bagi membuat penilaian gerak kerja pengukuhan Pejuang dan mengkaji jalinan kerjasama dengan mana-mana parti politik sedia ada.

Sebelum ini Ketua Setiausaha GTA, Datuk Marzuki Yahya berkata, keputusan Keluar GTA tidak dibin­cangkan bersama pucuk pimpinan tertinggi parti sebaliknya, Mukhriz hanya mengambil kira pandangan para perwakilan dalam Perhimpunan…

Marzuki juga kurang bersetuju cadangan Pejuang untuk bersama dengan parti lain, ini, contohnya bersama Pakatan Harapan (PH).

GTA ialah gabungan politik yang masih belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan dianggotai empat parti komponen utama iaitu Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Berjasa (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Pada PRU15, GTA yang bertanding menggunakan logo Pejuang gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen walaupun meletakkan calon di 125 kerusi.

Related posts

Leave a Comment