Ambil pengajaran teguran Ketua Audit Negara

PUTRAJAYA 18 Jan. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan semua jemaah menteri meneliti setiap teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara 2021, terutama berkaitan perbelanjaan, ketirisan yang tidak menepati syarat serta peraturan.

Beliau  berkata perlu ada pengajaran daripada setiap teguran dalam laporan itu, manakala menteri perlu mengenal pasti masalah dan mencari penyelesaian supaya perkara sama tidak berulang.

Beliau berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini mengambil masa yang lama meneliti Laporan Ketua Audit Negara 2021 dan menteri sudah diminta memastikan supaya setiap teguran itu tidak terus berulang.

“Harus ada pengajaran dan saya sudah minta menteri, dalam mesyuarat selepas ‘post cab’ teliti semula teguran dibuat. Soal perbelanjaan, soal ketirisan, tidak menepati syarat dan peraturan.

Ini disebut dengan teliti dan saya percaya mereka (Laporan Ketua Audit Negara) akan umumkan pada waktu yang sesuai dan akan dibentangkan di sidang Parlimen akan datang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, Laporan Ketua Audit Negara mengandungi syor, namun kesilapan atau ketelanjuran sama berterusan tahun demi tahun.

Beliau berkata, Laporan Ketua Audit Negara ialah satu dokumen penting kerana mengenal pasti kesilapan sama seperti kurang pengawasan, membiarkan ketirisan dan menyerahkan kontrak kepada syarikat yang tidak mengikut peraturan.

“Cuma sekarang kita tidak memilih untuk mengumumkan kerana kita memilih untuk badan itu (agensi yang ditegur) menjawab kerana kadang-kadang ada sebab munasabah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment