Pendekkan tempoh darurat

KUALA LUMPUR 3 April – Pendekkan tempoh darurat. Itu tuntutan Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan demokrasi negara berjalan lebih baik,

Pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bagi membolehkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Kita menuntut darurat yang sudah diproklamasikan dipendekkan. Kita mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong, tetapi atas nama demokrasi, kita harus melihat kesan dan momokan negara luar terhadap sistem demokrasi dan darurat di Malaysia.

“Kita memahami bahawa tujuan untuk mengisytiharkan darurat biarpun di atas kertas mahu melihat supaya Covid-19 diatasi, tetapi jika pasar malam boleh dibuka, mall boleh dibuka, maka sidang Parlimen dan DUN, juga boleh diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan secara dalam talian sempena Perhimpunan Agung MIC ke-74 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh juga menggesa kerajaan supaya melaksanakan undi 18 dan undi secara automatik mengikut tarikh yang dipersetujui sebelum ini.

“Ini mesti dilaksana mengikut persetujuan yang sudah dibuat dalam Dewan Rakyat dan juga dibawa ke Dewan Negara.

“Tentulah keputusan itu dibuat selepas meneliti daripada pelbagai aspek perundangan dan politik. Namun apabila mereka yang berusia 18 tahun ke atas hanya didaftarkan pada September 2022, ini adalah sesuatu yang di luar persetujuan yang telah dibuat,” ujarnya.

Beliau meminta kerajaan supaya tidak menggunakan alasan pandemik Covid-19 untuk mematikan demokrasi di Malaysia.

“Cari kaedah terbaik supaya mereka yang berumur 18 tahun dapat diberikan hak mengundi.

“Jangan khuatir bahawa mereka akan mengundi kerajaan yang ada atau pihak lain, kita mesti berikan hak kepada pengundi muda,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment