Hajiji dakwa dapat sokongan 44 ADUN Sabah

KOTA KINABALU 8 Jan. – Ketua Menteri,  Hajiji Noor, mendakwa mempunyai sokongan majoriti membabitkan seramai 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membolehkan beliau terus mentadbir Sabah.

Jumlah itu merangkumi 29 ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tujuh daripada Pakatan Harapan (PH) Sabah, lima ADUN UMNO dan masing-masing seorang ADUN Dilantik mewakili Pas,  Bebas dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).

Hajiji yang juga Pengerusi GRS mendakwa dengan bilangan sokongan itu, kerajaan sedia ada bawah pimpinannya masih kukuh untuk terus mentadbir negeri ini.

“Kita mempunyai sokongan majoriti dengan seramai 44 ADUN di Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini bermakna kerajaan sedia ada yang saya pimpin ini masih utuh serta kuat dan akan terus mentadbir Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan semua ADUN berkenaan di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah, di Sri Gaya di sini, hari ini.

Warisan ketika ini mempunyai 19 ADUN, BN 12, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) 3 dan Bebas 1.

Hajiji turut mengesahkan sudah menghantar akuan bersumpah (SD) kesemua 44 ADUN menyokongnya, ke Istana Seri Kinabalu pada perjumpaan dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, semalam.

Mengenai isu perlembagaan yang dibangkitkan Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan (Warisan) pula, beliau berkata, perkara itu boleh dibawa ke mahkamah untuk diselesaikan.

“Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati, mereka boleh membawanya ke mahkamah,” katanya.

Sebelum ini, Bung Moktar dan Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal serta Presiden KDM, Peter Anthony, dilapor membangkitkan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah yang antara lain menetapkan seseorang Ketua Menteri mesti seorang ketua parti yang mendapat sokongan majoriti ADUN.

Mereka mendakwa Hajiji sudah hilang sokongan majoriti berikutan tindakan UMNO dan BN Sabah menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Berikutan itu, ketiga-tiga pemimpin terbabit memohon Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk melaksanakan fungsi selaku Ketua Negeri dengan menyemak pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri mengikut Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sabah yang dibaca bersama Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah.

(Foto FB Media Rasmi Part StarSabah)

Related posts

Leave a Comment