TEHRAN – Selat Hormuz terus menimbulkan konflik apabila komando tertinggi tentera bersama Iran mengarahkan penutupan laluan kepada semua kapal, termasuk kapal tangki minyak dan kapal komersial.
Langkah drastik terbaru itu dijangka memberi kesan besar kepada perdagangan global termasuk lonjakan harga minyak dan gangguan rantaian bekalan global.
Menurut agensi berita Mehr, mana-mana kapal yang cuba memasuki atau melalui laluan strategik itu akan dianggap sebagai sasaran dan berisiko diserang oleh angkatan tentera Iran.
Sementara itu, pertempuran sengit dilaporkan berlaku di sekitar Selat Hormuz melibatkan tentera Amerika Syarikat (AS) dan unit tentera laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Setakat ini, sekurang-kurangnya tujuh lokasi pantai telah menjadi sasaran, termasuk kawasan sekitar Bandar Abbas, Sirik, Pulau Qeshm dan Pulau Hengam.
Dalam masa sama, IRGC mendakwa sistem pertahanan udara negara itu berjaya memintas sebuah pesawat pejuang F-16 yang didakwa melanggar ruang udara Teluk.
Menurut kenyataan tersebut, peluru berpandu dilancarkan ke arah pesawat berkenaan, memaksa ia berundur daripada kawasan tersebut tanpa insiden lanjut dilaporkan.
Selat Hormuz merupakan salah satu laluan perkapalan paling penting di dunia, yang mengendalikan sebahagian besar penghantaran minyak global.
