Pegawai fasih Mandarin sambut pelancong China

PUTRAJAYA 8 Jan. – Malaysia mengalu-ngalukan kemasukan pelancong dari China dengan menyediakan laluan mudah dan menempatkan pegawai-pegawai yang fasih berbahasa Mandarin di semua lapangan terbang antarabangsa di seluruh negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)  Tiong King Sing berkata, langkah itu adalah bagi membantu kelancaran di pintu sempadan, khususnya melibatkan pengembara dari China.

Usaha ini akan diselaraskan bersama pihak pengurusan lapangan terbang berkenaan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi memastikan ketersediaan di pintu sempadan, sekali gus melancarkan proses kemasukan pengembara dari China.

Beliau berkata, langkah itu diambil setelah mengambil kira sejumlah besar pengembara dari China yang dijangka memasuki negara selepas sempadan negara itu dibuka semula selepas tiga tahun.

“Bagi menerima dan mengalu-alukan kedatangan pelancong China dengan lebih baik, MOTAC mencadangkan untuk menyediakan laluan mudah di lapangan terbang antarabangsa.

“Ini bukan sahaja untuk kelancaran, tetapi juga dapat menyingkatkan proses ketibaan,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook hari inj.

Katanya, selain mempercepat proses pemeriksaan kastam tanpa menjejaskan pengembara dari negara lain, langkah ini juga dapat “menonjolkan sifat mesra Malaysia” dalam mengalu-alukan kedatangan pengembara dari China.

“Pada masa sama, ia juga tetap mengambil kira tahap kesihatan dan keselamatan pengembara dari China serta menghapuskan kebimbangan pelancong asing berhubung langkah Malaysia dalam mengetatkan SOP di pintu masuk negara,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Imigresen kerana bersetuju untuk memudah dan mempercepatkan proses kemasukan pengembara yang memasuki negara, serta mempercepatkan proses pemeriksaan kastam.

China mula membuka sempadan negaranya hari ini setelah menutup selama lebih tiga tahun berikutan pandemik Covid-19 dan ini membuka peluang rakyatnya melancong dan mengembara ke luar negara.

Related posts

Leave a Comment