PRN : PH mahu pertahan tiga negeri

PETALING JAYA 7 Jan. – Pakatan Harapan (PH) akan terus mempertahankan tiga negeri di bawah pentadbirannya ketika ini, iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, kata Ketua Setiausahanya, Saifuddin Nasution Ismail.

Pada masa yang sama, berdasarkan laporan semasa, pimpinan utama PH meletak keyakinan tinggi untuk mengukuhkan kedudukan di negeri Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“PH juga bertekad menjadi suara pembangkang yang kuat, meskipun tidak sampai menawan atau mengambil alih Kelantan, Terengganu,” katanya selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di Ibu Pejabat PKR di Tropicana, hari ini.

Mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PH, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, berkata pimpinan utama turut membincangkan persiapan khusus bagi PH menghadapi enam PRN, yang dijangka diadakan selewat-lewatnya Jun atau Julai depan.

“Bagaimanapun, tarikh yang ingin diputuskan tidak dibincangkan bagi negeri yang ditadbir PH. Apapun, fokus Majlis Presiden semestinya enam negeri yang akan menghadapi PRN, selewat-lewatnya pada Jun atau Julai tahun ini,” katanya.

Ahmad Fahmi juga menjelaskan, mesyuarat pertama Majlis Presiden PH memfokuskan beberapa tugas kerana ia mesyuarat pertama sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, ia termasuk mengenai reformasi dan penambahbaikan yang akan dibawa terutama menjelang sidang Parlimen akan datang.

“Antara yang sedang diperbincangkan dan dalam pertimbangan ialah Sesi Jawab Lisan Perdana Menteri, yang mana satu hari akan dikhususkan satu tempoh masa tertentu untuk Perdana Menteri menjawab soalan.

“Beberapa perkara, termasuk isu jawatankuasa pilihan khas yang sebelum ini ada dibentuk dalam Parlimen juga dibincangkan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment