Josep Kurup bersara, anak pimpin PBRS

KOTA KINABALU 7 Jan. – Selepas 37 tahun, Joseph Kurup hari ini mengumumkan bersara dalam politik dan melepaskan jawatan sebagai Presiden Parti Bersatu Sabah (PBRS) berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Penerangan PBRS, Fredie Sua dalam satu kenyataan, berkata pihaknya memutuskan perkara terbabit dalam satu mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT), hari ini.

Susulan pengumuman persaraan itu, AMT sebulat suara bersetuju untuk melantik Arthur Kurup yang sebelum ini sebagai Timbalan Presiden untuk mengambil alih jawatan daripada ayahnya sebagai Presiden PBRS yang baharu.

“AMT telah meluluskan usul untuk melantik Tan Sri Joseph Kurup sebagai Pengerusi Kehormat PBRS berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Kurup mengumumkan mengenai hasrat untuk bersara semasa mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBRS, di Kota Kinabalu hari ini.

“Dalam ucapan amanatnya, beliau (Joseph) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua AMT dan ketua bahagian serta seluruh ahli PBRS, yang kekal setia dan konsisten berjuang bersama dalam parti sejak penubuhan PBRS pada tahun 1994,” katanya.

Kurup, 78, yang mula berkecimpung dalam bidang politik pada 1985 dengan menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS), pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook atas tiket PBS pada 1985-1999 dan 2004, selain sebagai Ahli Parlimen Pensiangan pada 2003.

Antara jawatan penting yang pernah disandang di peringkat negeri termasuk Timbalan Ketua Menteri Sabah, Menteri Pembangunan Sumber dan Usahawan, Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat serta Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Di peringkat pusat pula, beliau pernah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2013-2018.

PBRS merupakan satu-satunya parti tempatan Sabah yang menjadi anggota komponen Barisan Nasional bersama UMNO, MCA dan MIC.

Related posts

Leave a Comment