Semua muka baharu Exco Johor

JOHOR BAHRU 26 Mac – Semuanya 10 muka baharu dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang melibatkan tujuh wakil UMNO, dua MCA dan seorang dari MIC.

Sepuluh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memenangi kerusi pada pilihan raya negeri baru-baru ini mengangkat sumpah jawatan Exco di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini.

Mereka ialah ADUN Buloh Kasap, Zahari Sarip; Mohd Jafni Md Shukor (Bukit Permai); K Raven (Tenggaroh); dan Khairin Nisa Ismail (Serom).

Turut sama Mohd Hairi Mad Shah (Larkin); Mohd Fared Mohd Khalid (Semerah); Ling Tian Soon (Yong Peng); Lee Ting Han (Paloh); Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Bukit Pasir); dan Norliza Noh (Johor Lama).

Majlis Istiadat Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor itu berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, di sini, pagi ini.

Berangkat sama ke majlis itu ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Yang turut berangkat, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim.

Sebelum ini, Onn Hafiz Ghazi yang juga ADUN Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor Ke-19 pada 15 Mac lalu di hadapan Sultan Johor.

Onn Hafiz adalah Naib Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu dengan majoriti 6,543 undi. Beliau menggantikan Datuk Seri Hasni Mohammad, yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.

Related posts

Leave a Comment