Ambillah dos penggalak kedua

PUTRAJAYA 2 Jan. – Orang ramai yang telah menerima dos penggalak pertama yang melebihi tempoh enam bulan digesa mendapatkan dos penggalak kedua tanpa menunggu vaksin bivalen, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, vaksin monovalen sedia ada masih sangat berkesan untuk mengurangkan gejala serius dan kes kematian.

Katanya, pengambilan dos penggalak adalah sebagai sebahagian langkah KKM untuk meningkatkan kaedah pembendungan penularan jangkitan Covid-19 dalam negara serta kesiapsiagaan bagi berdepan sebarang kemungkinan peningkatan kes.

KKM katanya amat berharap, peratusan pengambilan dos penggalak meningkat, terutamanya daripada golongan yang berisiko.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, ketika ini hanya 49.8 peratus rakyat Malaysia mendapat vaksin dos penggalak pertama dan hanya 1.9 peratus mengambil vaksin dos penggalak kedua.

“Merujuk kepada maklumat sedia ada, vaksin COVID-19 berkesan bagi memberi perlindungan dari mendapat gejala yang teruk akibat jangkitan virus Covid-19 dan ia sepatutnya mengurangkan kemasukan ke hospital,” katanya.

Beliau berkata, tidak lama lagi vaksin bivalen akan dibekalkan kepada Malaysia berikutan kelulusan pendaftaran bersyarat yang diberikan Pihak Berkuasa Kawalan Ubatan baru-baru ini.

“Pengumuman akan dibuat selepas bekalan diterima bersama dengan kriteria kelayakan untuk mendapatkannya,” katanya.

Pada masa sama, jelasnya, dengan pelanjutan Malaysia sebagai “Kawasan Tempatan Jangkitan” sehingga Jun 2023, ia memberi ruang kepada KKM untuk mengambil sebarang tindakan segera bila diperlukan.

Ini termasuk mengubah dasar sedia ada terutama penjagaan kesihatan pengurusan pandemik Covid-19 di sempadan negara (health border measures) serta memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kesihatan di mana-mana pintu masuk negara.

“Ia akan dilaksanakan jika perlu, bukan sahaja kepada pengunjung atau pengembara (warganegara Malaysia dan bukan warganegara) yang tiba dari China, bahkan yang tiba dari semua negara di dunia,” katanya.

Related posts

Leave a Comment