Varian BA.5.2, BF.7 Covid-19 dalam negara

PUTRAJAYA 2 Jan. – Varian BA.5.2 dan BF.7 Covid-19 yang sedang menular di China, dikesan sudah berada di Malaysia dengan 4,148 kes dijangkiti BA.5.2 dan tiga kes BF.7 setakat 31 Disember lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, bagaimanapun berkata, belum ada data dapat mengaitkan peningkatan bilangan kes kemudaratan atau kematian dengan varian BA.5.2 dan BF.7.

“Situasi ini akan disemak dari semasa ke semasa apabila berlaku perubahan ketara yang memerlukan perubahan dalam strategi kesihatan awam.

“Perkara ini akan diumumkan segera oleh WHO kepada semua negara anggota WHO serta penduduk secara am,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, varian BA.5.2 dan varian BF.7 merangkumi kira-kira 80 peratus daripada varian yang menular di China ketika ini.

Katanya, kedua-dua varian berkenaan tergolong sebagai sublineage Omicro BA.5 dan belum digolongkan sebagai Lineage Under Monitoring (LUM) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Bagaimanapun, ia dipercayai boleh menyebabkan jangkitan semula atau mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi disebabkan oleh bilangan kes tinggi di China,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, varian XBB subvarian Omicron menguasai penularan Covid-19 di negara ini sepanjang Disember lalu, merangkumi 55.4 peratus daripada bilangan sampel yang menjalani penjujukan genom.

Beliau menjelaskan, survelan genomik SARS-CoV-2 bagi tempoh itu menunjukkan dominasi varian itu, diikuti varian BA.2.75 (20.8 peratus) dan BQ.1 (10.8 peratus).

Ini menunjukkan XBB masih menjadi varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia sejak Oktober tahun lalu. Kedua-dua varian XBB dan BA.2.75 adalah sejenis varian LUM WHO.

Data dari negara lain yang mengalami penularan XBB seperti Singapura dan India menunjukkan peningkatan bilangan kes jangkitan semula, terutama dalam kalangan penduduk yang dijangkiti ketika gelombang Delta atau dijangkiti oleh VOC Omicron sekurang-kurang enam bulan lalu.

Beliau berkata, jangkitan semula adalah disebabkan keadaan ‘immune escape’ yang lebih tinggi oleh XBB.

Dr Noor Hisham menjelaskan, ia mungkin disebabkan oleh tahap antibodi yang mulai berkurangan dan menyebabkan jangkitan semula tidak dapat dielak.

Justeru, golongan yang mempunyai masalah kesihatan disaran mengambil dos penggalak kedua supaya sistem imun dapat bersedia untuk sebarang jangkitan semula.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat terkini, WHO Technical Advisory Group on SARS-CoV-2 Virus Evolution (TAG-VE) berpendapat ciri-ciri phenotype XBB tidak banyak berubah berbanding sublineage Omicron yang lain sebelum ini.

“Dari segi keperluan tindakan kesihatan awam walaupun berlaku penambahan mutasi yang dikaitkan dengan immune escape,” katanya.

Berdasarkan maklumat terkini, WHO Technical Advisory Group on SARS-CoV-2 Virus Evolution (TAG-VE) berpendapat ciri-ciri phenotype XBB tidak banyak berubah berbanding sublineage Omicron yang lain sebelum ini, dari segi keperluan tindakan kesihatan awam walaupun berlaku penambahan mutasi yang dikaitkan dengan immune escape.

Related posts

Leave a Comment