Kes harian Covid-19 catat penurunan

PUTRAJAYA 1 Jan. – Jumlah kes jangkitan kes harian Covid-19 semalam kekal di bawah 1,000 dengan mencatatkan 513 kes, menunjukkan penurunan berbanding 583 yang direkodkan kelmarin.

Menurut portal KKMNOW, sebanyak 509 adalah kes tempatan dan empat kes import  yang membawa kepada jumlah keseluruhan kes tempatan meningkat kepada 4,988,142 dan 38,535 kes import.

Bagi tempoh yang sama, satu kematian direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan 36,853 orang meninggal dunia termasuk 7,852 kematian yang berlaku di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID)

Sementara itu, kes aktif semalam turun sebanyak 321 menjadikan jumlah kes aktif 12,002 di mana daripada jumlah itu, 11,349 atau 94.6 peratus sedang menjalani kuarantin di rumah dan tiada pesakit di pusat kuarantin (PKRC),

Sebanyak 620 pesakit atau 5.2 peratus sedang mendapat rawatan di hospital di mana 33 daripada mereka ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), iaitu 15 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) dan selebihnya tidak.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 833 lagi pesakit dilaporkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan 4,977,822 pesakit pulih.

Related posts

Leave a Comment