Pertubuhan Perpaduan Ummah dilancar

ARAU 1 Jan. – Selepas Muafakat Nasional (MN), sebuah lagi pertubuhan bukan kerajaaan (NGO) ditubuhkan iaitu Pertubuhan Perpaduan Ummah (PPU) yang dilancarkan secara rasmi malam tadi di Pusat Khidmat Kubang Gajah dekat sini.

Menurut Setiausaha Agung penajanya Shahidan Kassim, penubuhan NGO berkenaan bertujuan menyatukan masyarakat di Malaysia tanpa mengira parti selain memfokuskan kepada kerja-kerja kebajikan.

PPU yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), 29 Disember lalu akan diperluaskan ke kesemua 222 Parlimen dalam merealisasikan kerjasama seluruh rakyat Malaysia selepas Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.

Katanya, pelancaran PPU juga adalah bagi menunaikan salah satu janji di dalam manifesto Perikatan Nasional (PN) Perlis yang mana struktur kepemimpinan negeri itu akan diketuai oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Katanya , keahlian dibuka bermula malam tadi sejurus selepas ia dirasmikan.

“Untuk (organisasi pula), saya adalah pemudah cara sahaja. Selepas ini, pertubuhan ini akan dipimpin orang yang lebih hebat dan berjenama,” kata Shahidan pada sidang media selepas pelancaran itu.

Menurutnya, pelancaran pertubuhan itu dilaksanakan di Parlimen Arau adalah bagi memastikan struktur organisasinya dapat dicontohi di Parlimen yang lain.

Beliau juga menjelaskan penubuhan PPU bukannya bagi ‘melawan’ NGO Muafakat Nasional yang diketuai Annuar Musa.

“Tidak ada masalah (di antara saya dan Annuar). Muafakat Nasional (MN) juga NGO, Perpaduan Ummah adalah NGO. Cuma kami (PN) di Perlis di dalam poster (pilihan raya) sudah tulis Perpaduan Ummah, (negeri lain semua gunakan) PN Best.

“Tetapi kami tambah Perpaduan Ummah kerana sudah tidak mampu melihat perpecahan yang berlaku. Sesiapa sahaja jika hendak masuk kedua-dua NGO ini pun tidak apa, tidak ada masalah.

“Masuk tiga atau empat tidak beri apa-apa kesan, tetapi saya nyatakan bahawa Perpaduan Ummah lebih tekankan kepada kebajikan dan manifesto supaya semua pihak selepas pilihan raya mesti bersatu padu,” kata Shahidan.

Related posts

Leave a Comment