11.5 juta pelancong kunjungi Thailand

BANGKOK: Sebanyak 11.5 juta pelancong sudah memasuki Thailand setakat ini selepas merudum akibat pandemik Covid-19 yang memaksa negara itu memperkenalkan syarat kemasukan ketat dan kos yang tinggi.

Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) Yuthasak Supasorn berkata sektor pelancongan diunjurkan menjana hasil 1.5 trilion baht (100 baht =RM12.76) atau pada 50 peratus daripada paras pascapandemik pada 2019.

“Kedatangan semula pelancong asing dan pemulihan pelancongan domestik sejak cuti panjang hujung dan kempen rangsangan pelancongan telah membantu (mencapai sasaran ketibaan pelancong),” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 10 Disember lalu TAT mengadakan acara “Amazing Thailand 10 Million Celebration ” bagi mengalu-alukan dan memberi cenderahati kepada pelancong yang masuk melalui tujuh lapangan terbang dan dua pusat pemeriksaan sempadan darat.

Yuthasak berkata TAT juga menjangkakan 3.14 juta perjalanan domestik ketika Tahun Baharu antara Disember hingga 2 Januari yang dijangka menjana hasil sebanyak 11.2 bilion baht.

Thailand, satu daripada destinasi pelancongan paling popular di Asia, dikunjungi hampir 40 juta pelawat pada 2019 sebelum merudum akibat pandemik Covid-19.

Bagi tahun 2023, Thailand bersedia menyambut sekurang-kurangnya 20 juta pelancong dan dijangka menjana pendapatan sebanyak 2.38 trilion baht (AS$64.5 bilion).

Menteri Kewangan Arkhom Termpittayapaisith berkata jumlah ketibaan pelancong akan bertambah ramai dengan kedatangan semula pelancong dari China.

TAT juga mengumumkan akan menganjurkan sambutan Tahun Baharu “Amazing Thailand Countdown 2023” di Bangkok dan Songkhla serta di beberapa wilayah lain.

Related posts

Leave a Comment