Kes jangkitan harian kekal bawah 500

PUTRAJAYA 28 Dis. – Hari kedua jumlah kes jangkitan harian Covid-19 di bawah 500 dengan merekodkan 423 kes semalam termasuk dua kes import berbanding 480 yang direkodkan kelmarin.

Angka itu menunjukkan hari ke-10 berturut-turut jumlah kes jangkitan harian berada di bawah 1,000 dan dengan perkembangan ini juga, jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 5,024,422 iaitu 4,985,908 kes tempatan dan 38,514 kes import.

Menurut data portal KKMNOW, enam kematian dilapor berkaitan dengan Covid-19, satu daripadanya berlaku di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID) menjadikan jumlah keseluruhan 36,841 meninggal dunia termasuk 7,850 BID.

Sementara itu, sebanyak 13,401 kes aktif dilaporkan dan daripada jumlah itu sebanyak 12,672 kes atau 94.6 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah dan tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC).

Sebanyak 686 pesakit atau 5.1 peratus mendapat rawatan di hospital, di mana 43/daripada mereka ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), iaitu 19 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan (abp) dan 25 tidak memerlukannya.

Jumlah kes sembuh yang direkodkan semalam turut meningkat dengan pertambahan 834 lagi pesakit dilaporkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,974,180 pesakit sembuh.

Related posts

Leave a Comment