Waris mangsa nahas TLDM terima RM10,000

KUALA LUMPUR 24 April – Setiap waris 10 pegawai dan anggota yang terbabit dalam insiden dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut semalam akan menerima bantuan awal RM10,000.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bantuan itu sebagai meringankan beban ditanggung keluarga mangsa.

Pada masa yang sama, beliau berkata, Kementerian Pertahanan juga menubuhkan tabung khas bagi memudahkan orang ramai untuk turut menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa.

Selain itu, katanya, segala kos perjalanan terakhir yang meliputi penerbangan ihsan dan pengurusan jenazah ditanggung sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini merakamkan ucapan takziah kepada waris-waris pegawai dan anggota TLDM atas tragedi itu. Kerajaan turut menzahirkan rasa simpati atas kehilangan 10 wira negara yang mencurah bakti sehingga ke akhir hayat mereka,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Terdahulu, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini berbincang dengan mendalam mengenai insiden nahas helikopter TLDM itu, dengan Menteri Pertahanan memberi komitmen untuk memberi laporan interim dalam tempoh dua minggu.

Jemaah Menteri juga bersetuju mengenai bantuan yang akan disalurkan kepada keluarga mangsa nahas helikopter terbabit.

Sementara itu, Mohamed Khalied berkata Lembaga Siasatan yang ditubuhkan diarah untuk menyerahkan laporan awal dalam tempoh 14 hari bekerja dan laporan penuh dalam tempoh 30 hari bekerja.

Dalam kejadian 9.30 pagi semalam, dua helikopter yang menyertai raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 sempena Hari Terbuka Armada di Pangkalan TLDM Lumut dilaporkan bertembung dan terhempas, sekali gus mengorbankan 10 anggota dan pegawai.

(foto lawatan ke hospital 23 April)

Related posts

Leave a Comment