Gelisah, putus asa mencari mangsa ke-31

HULU SELANGOR 25 Dis. – Gelisah dan putus asa dapat dirasai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) ketika mereka berusaha mengesan mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Gohtong.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata walaupun kelelahan selepas sembilan hari bertungkus lumus melakukan pencarian, pasukan SAR sedaya upaya bertahan supaya mangsa dapat ditemui.

Katanya, ketika pencarian terakhir itu,  80 peratus penggalian sudah dibuat di semua sektor A, B, C dan D.

Beliau berkata, lokasi mayat mangsa ditemui itu sudah kerap dibuat pencarian dan anggota SAR juga selalu berulang alik di situ, namun usaha mereka tidak berjaya sehinggalah semalam.

“Sedangkan tempat itu sudah dilalui berulang kali oleh pasukan SAR, mereka sudah acap kali lalu di situ tetapi tak pernah jumpa (mangsa) mungkin sebenarnya pada hari ini (semalam), nak ditunjukkan, kita berjumpa dengan mayat mangsa yang terakhir ini,” katanya di lokasi, malam tadi.

Semalam, mayat mangsa ke-31 dan terakhir ditemui dalam beg tidur yang tertimbus dengan kedalaman 1.5 meter dalam tanah pada pukul 4.53 petang oleh pasukan SAR.

Berikutan penemuan itu, Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani mengumumkan misi itu tamat pukul 12 tengah hari ini.

Sementara itu, Hafisham berkata, ada perkara yang tidak dapat dijelaskan secara mata kasar mengenai kesulitan dihadapi pasukan SAR ketika melakukan pencarian mangsa.

“Yang sukar ini, mungkin mangsa terlindung, mungkin kita tidak sedar, ada satu perkara yang kita tidak dapat jelaskan .. sebab bukan kita tidak guna Unit K9 (anjing pengesan) itu pun tidak berjaya sedangkan mereka ada deria bau lebih baik daripada kita,” katanya.

Beliau mengakui pasukan Bomba berdepan cabaran paling sukar dalam misi mencari mangsa terakhir itu..

“Ini adalah misi paling sukar namun kami tetap teruskan. Daripada semalam (kelmarin), kita tidak mendapat perkhabaran langsung berkenaan mangsa terakhir ini,” katanya.

Hafisham berkata, keputusan bagi pencarian dalam operasi SAR pada hari kesembilan, semalam difokuskan di Sektor A adalah hasil maklumat yang dikongsi antara agensi yang terbabit dalam operasi itu.

“Kita dapat maklumat yang kanak-kanak ini (datang) bersama-sama ayah dan kakak. Mayat ayah dan kakaknya kita temui pada hari pertama (Jumaat) di Sektor A.

“Justeru mangsa juga mungkin berada di situ, tak mungkin dia di khemah lain, atau di sektor lain.. itulah yang meyakinkan kita bahawa dia berada di situ (Sektor A)m” katanya.

Mengimbas kembali operasi SAR itu, Hafisham mengakui terkejut apabila pada awalnya dimaklumkan terdapat kira-kira 100 mangsa terbabit dalam insiden itu.

“Apa yang mengejutkan kita pada waktu itu adalah disebabkan terlalu ramai mangsa yang pada mulanya dikatakan dianggarkan kira-kira 100 orang. ia menyeramkan dan menakutkan.. sebab jumlah (mangsa) yang banyak. Malaysia akan terkejut dengan jumlah mangsa yang ramai,” katanya.

Beliau berkata, sebaik bomba menerima aduan kejadian itu pada pukul 2.24 pagi, pasukan pertama memberi respons bantuan adalah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu bersama Ketua Zon 6 JBPM Selangor, Penguasa Kanan Bomba II Ahmadi Muhamad Hasan yang tiba di tempat kejadian pada jam 3.04 pagi.

Pasukan itu dapat menyelamatkan 61 mangsa yang cedera dan terselamat dan kemudiannya dirumuskan mangsa hilang 31 orang daripada 92 keseluruhan mangsa.

Related posts

Leave a Comment