Tun Juhar kekal Yang Dipertua Negeri Sabah

KUALA LUMPUR 23 Dis. – Tun Juhar Mahiruddin, 69 sekali lagi dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah bagi tempoh dua tahun, atau penggal keempat selepas pelantikannya dibuat pada 1 Januari 2011.

Beliau menerima Surat Cara Pelantikan bagi menyambung khidmatnya daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, di sini.

Lantikan itu adalah bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2024, sekali gus menyaksikan beliau memegang jawatan itu lebih 10 tahun sejak 1 Januari 2011, menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah.

Istiadat pengurniaan berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara, yang turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Istiadat itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani serta Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Disember 2018 meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah bagi menghapuskan tempoh perkhidmatan Yang Dipertua Negeri (TYT) Sabah yang sebelum itu dihadkan kepada dua penggal.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Wolverhampton Polytechnic, England, Juhar pernah menyandang jawatan selaku Speaker DUN Sabah pada 2002 hingga 2010 dan juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dari 1990 hingga 1999.

Sebelum ini terdapat laporan mengenai beberapa nama yang dikatakan berpotensi untuk dilantik mengisi jawatan itu jika Jugar tidak dilantik semula.

Mereka adalah bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan seorang lagi bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

(Foto FB Istana Negara)

Related posts

Leave a Comment