Operasi SAR dihenti berikutan hujan lebat

HULU SELANGOR : Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Gohtong petang ini dihentikan berikutan hujan lebat.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata operasi itu terpaksa ditangguhkan sementara kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Katanya, operasi SAR dihentikan sementara kira-kira pukul 5.40 petang untuk keselamatan petugas yang berada di lapangan.

Operasi SAR yang memasuki hari kelapan telah dimulakan seawal pukul 8 pagi, dengan dibantu oleh aset dan khidmat enam ekor anjing unit pengesan (K9) dari pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia.

Usaha pencarian mangsa terakhir yang juga seorang kanak-kanak lelaki tertumpu  di Sektor C (River Side).

Sejak operasi SAR dimulakan Jumaat lalu, sebanyak 30 mangsa ditemui meninggal dunia, manakala 61 lagi selamat dan satu masih hilang dengan jumlah keseluruhan 92 mangsa terbabit dalam insiden itu.

(Foto PDRM)

Related posts

Leave a Comment