Bersedia hadapi keadaan tidak menentu

SINGAPURA 31 Dis. – Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengingatkan rakyatnya supaya bersedia untuk menghadapi keadaan yang tidak menentu pada masa depan dengan kekal bersatu padu sebagai satu rakyat.

“Kita mesti bersiap sedia berdepan ketidaktentuan pada masa akan datang,” kata Lee dalam Perutusan Tahun Baharu 2023 hari ini.

Beliau berkata di peringkat peringkat antarabangsa “kekal bermasalah” dengan konflik Rusia-Ukraine terus berlanjutan, tanpa menunjukkan sebarang tanda-tanda akan berakhir.

“Ketegangan Amerika Syarikat-China mungkin berterusan. Masih belum jelas seberapa cepat China dapat pulih daripada Covid-19, manakala AS dan EU mungkin mengalami kemelesetan,” kata Lee.

Dengan situasi global terkini, Lee berkata, bahawa ekonomi Singapura akan terjejas dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menjangkakan pertumbuhan lebih perlahan pada 2023 – antara 0.5 dengan 2.5 peratus.

Menurut Lee,  Timbalan Perdana Menterinya Lawrence Wong dan pasukan generasi keempat (4G) sibuk mengadakan perbincangan Forward Singapore, serta bekerjasama dengan rakyat untuk merangka hala tuju baharu negara.

Katanya, ramai rakyat Singapura berkongsi maklum balas dan pandangan secara aktif, termasuk menjadi sukarelawan di kawasan di mana mereka boleh menyumbang dan bekerjasama dengan Kerajaan.

Beliau berkata, rasa bertanggungjawab dan anggapan bahawa ia merupakan sesuatu yang kita sama-sama miliki adalah penting untuk memperbaharui dan mengukuhkan kontrak sosial.

“Kami menantikan hasil perbincangan, dan untuk menjayakannya pada separuh kedua tahun depan,” katanya.

Katanya, walaupun dilanda cabaran sebesar manapun, pastinya akan ada peluang-peluang yang tersaji tetapi hanya bagi mereka yang betul-betul berani merebutnya.

Lee berkata, Singapura telah mengharungi pandemik Covid-19 dengan selamat dan menjadi lebih kuat.

“Tindak balas Covid-19 negara telah meningkatkan kedudukan Singapura di peringkat antarabangsa. Terdapat banyak sektor perniagaan dan individu yang ingin membuka kedai di sini dan di rantau ini. Kita mesti merebut peluang berkenaan.

“Mengalu-alukan pelaburan yang menjanjikan dan bakat tanpa mengira kewarganegaraan, sambil membina kemahiran dan keupayaan kita sendiri, meneroka dan mengejar impian kita di rantau ini dan dunia,” katanya.

Lee berkata baki sekatan-sekatan sosial di Singapura mungkin ditarik balik, jika situasi Covid-19 di sini kekal stabil di tengah-tengah perjalanan hujung tahun dan kenaikan kes di China.

Beliau menambah meskipun pandemik serta ekonomi sejagat kekal tidak menentu, Singapura perlu bersatu padu dan merebut peluang-peluang yang datang.

Walaupun Singapura sudah membuka semula sempadannya, Lee menyatakan negara sedang memantau situasi Covid-19 dengan teliti dan menggesa semua orang supaya mendapatkan suntikan vaksin terbaru.

(FOTO FB LHL)

Related posts

Leave a Comment