Banjir: Solat hajat di tiga masjid Jakim

PUTRAJAYA 21 Dis. – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan solat hajat di tiga masjid utama di bawah seliaan jabatan itu iaitu Masjid Negara, Kuala Lumpur; Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya bagi mendoakan keselamatan mangsa banjir di Pantai Timur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Naim Mokhtar, berkata Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga akan bekerjasama mengadakan solat hajat di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan bagi tujuan sama.

“Semua pihak juga diseru untuk terus berdoa dan bermunajat memohon perlindungan, keselamatan dan kesejahteraan negara daripada musibah banjir serta kemudahan dan kesegeraan penemuan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya terus mengikuti perkembangan kejadian banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang serta bersimpati dengan keadaan mangsa yang berdepan situasi ini.

Dr. Moh Naim juga berharap semua pihak mengambil langkah berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan diri serta keluarga masing-masing.

Pada masa yang sama beliau berharap, anggota keselamatan, jentera barisan hadapan, sukarelawan dan semua pihak yang membantu urusan menyelamat mangsa banjir juga dapat menjaga keselamatan mereka sepanjang tempoh bencana ini.

Related posts

Leave a Comment