ALOR SETAR 18 Dis. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Johari Abdul memaklumkan beliau telah mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan serta-merta.
Bekas Pengerusi PKR Kedah berkenaan melalui rakaman video hari ini, menjelaskan beliau sudah mengutuskan sepucuk surat kepada Speaker DUN Kedah, Juhari Bulat dan sah diterima pada 13 Disember atau Selasa lalu.
Beliau bagaimanapun dalam video berdurasi dua minit itu tidak menyatakan sebarang sebab tindakannya itu.
“Inti pati surat tersebut berbunyi saya, Datuk Johari bin Abdul, dengan ini memaklumkan kepada yang Berhormat Datuk Speaker bahawa saya mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri N22 Gurun, yang saya wakili berkuat kuasa secara serta-merta.
“Di kesempatan ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Speaker yang telah memberi ruang kepada saya untuk mengambil bahagian secara aktif dalam persidangan DUN Kedah.
“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh rakyat di Gurun dan pengundi-pengundi saya di sana. Tuan-tuan dan puan-puan telah pun berikan kerjasama yang luar biasa, kepercayaan kepada saya dalam menjalankan tugas sebagai ADUN Gurun.
“Insya-Allah kita akan berjumpa lagi dan saya yakin hubungan baik kita akan berkekalan dalam memakmurkan dan membangunkan negeri Kedah,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah dalam video berdurasi dua minit itu.
Johari yang juga bekas Ahli Parlimen Sungai Petani sebelum ini dilaporkan menjadi antara calon disenaraikan PH bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang akan bersidang buat kali pertama esok pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November lalu.
Beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Sungai Petani selama tiga penggal, namun tidak menyertai PRU15, sebaliknya digantikan anaknya, Dr Mohammed Taufiq yang menjadi satu-satunya wakil PH menang di Kedah.
Pada 31 Oktober lalu, Johari dipilih sebagai ketua pembangkang baharu DUN Kedah bagi menggantikan Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi yang dipecat daripada Parti Amanah Negara (Amanah) sehari sebelumnya.
