Sokong Anwar tetapi ‘aku bukan robot, zombi’

PASIR GUDANG 18 Dis. – Selepas “Ku simpan risalah reformasi di dalam peti” sebagai menyatakan kekecewaan terhadap Kabinet Perpaduan, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim tampil pula dengan karya terbaru “Satu deklarasi”.

Kali ini, beliau mencurahkan isi hatinya terhadap perjanjian persefahaman atau MoU antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan empat pemimpin utama parti politik atau gabungan yang membentuk kerajaan Persekutuan.

Sebelum ini, kekecewaan ahli Parlimen PKR itu terhadap Kabinet Perpaduan yang melantik pemimpin terpalit kes mahkamah juga diungkapkan melalui puisi.

Melalui karya terbarunya itu, beliau turut menyentuh mengenai usul percaya yang akan dibentangkan pada hari Isnin ini, peranan anggota Parlimen serta kebebasan mereka untuk membuat keputusan tanpa sebarang ‘paksaan’.

Beliau merayu supaya hak anggota Parlimen dikembalikan iaitu bebas mengundi menurut akal dan budi malahan menyatakan kesediaan untuk ‘dipancung mati’ daripada membiarkan demokrasi berkubur di Parlimen.

Perjanjian persefahaman yang ditandatangani Jumaat lalu antara lain mewajibkan ahli Parlimen berkenaan menyokong perdana menteri dalam mana-mana usul kepercayaan atau rang undang-undang bekalan atau mana-mana usul berkaitan.

Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka – anggota Parlimen PH, BN, GPS, GRS dan Warisan kehilangan kerusi atau dianggap meletak kawatan dan mengosongkan kerusi.

Bagaimanapun berhubung isu undi percaya, Hassan melalui karyanya menyatakan kesediaan untuk menyokong Anwar pada Isnin ini.

“ Lusa 19 Disember; tarikh keramat di Palimen kami; aku isytiharkan di sini, ; aku akan mengundi bebas ikut hatiku; akan aku berikan undi kepercayaan ; kepada Perdana Menteri sahabatku,” kata Hassan.

Beliau bagaimanapun menegaskan Parlimen bukanlah tempat makhluk zombi, yang bergerak satu hala saja, mengikut arahan ketua dan sebagai anggota Parlimen, beliau masih ada maruah, bukan robot, zombi atau bukan bangkai bernyawa.

Hasan juga bertanya mengapa MoU yang ditandatangani itu menjadi senjata tajam undi anggota Parlimen mesti mandatori tanpa budi bicara, dengan memberi kata dua sama ada patuh mengundi atau kehilangan kerusi.

“Kepada sahabatku, benarkan aku bertanya, Ini autokrasi atau demokrasi?,” katanya yang menyorot kisah Hang Tuah dan Hang Jebat.

Berikut ‘deklarasi’ penuh Hassan Karim

SATU DEKLARASI

Ini bukan puisi
Ini satu deklarasi
Izinkan aku bertanya
Parlimen itu apa?

Aku diberitahu
Oleh Magna Carta dan Bills of Rights
Parlimen itu kemuncak suara demokrasi

Oh, begitu rupanya,
Jadi Parlimen bukanlah tempat makhluk zombi
Yang bergerak satu hala saja
Mengikut arah si sang ketua

Biarlah aku bicara
Sebagai seorang MP di sini
Aku bukan robot, bukan zombi
Aku masih ada maruah
bukan bangkai bernyawa

Lusa 19 Disember
tarikh keramat di Palimen kami
aku isytiharkan di sini,
aku akan mengundi bebas ikut hatiku
akan aku berikan undi kepercayaan
kepada Perdana Menteri sahabatku

Namun begitu,
Sila dengar bicaraku
Adakah kita punya legitimasi,……….wahai sahabat
Beroleh sekian-sekian ratus undi selamat melebihi majoriti
Tetapi para MP hilang hak kebebasannya untuk mengundi?

Ke mana perginya kepercayaan kita
Kepada pertimbangan bijaksana?

Mengapa MoU yang ditandatangani semalam menjadi senjata tajam
Undi MP itu mesti mandatori
Tiada lagi budi bicara menjadi neraca imbangan?

Ke mana hilangnya keyakinan kita kepada hati nurani manusia
Sehingga tergamak kita memberi kata dua:
Patuh mengundi atau kamu hilang kerusi

Kepada sahabatku
Benarkan aku bertanya
Ini autokrasi atau demokrasi?

Kini kita kembali kepada sejarah Tuah dan Jebat
Lalu rayuan terakhirku,
Kembalikan hak kami para MP
Bebas mengundi
Menurut akal dan budi

Maka
Kepada mu abang Tuah
Aku lafazkan satu deklarasi di sini:

Biarlah aku dipancung mati
Aku tidak rela
Di Parlimen Malaysia ini berkuburnya demokrasi.

Hassan Abdul Karim
Pasir Gudang
Sabtu 17 Disember 2022

Related posts

Leave a Comment