Amanah tolak dakwaan dilahirkan DAP

SEPANG 1 Feb. – Parti Amanah Negara (Amanah) melalui Biro Mobilisasi akan membuat laporan polis di seluruh negara terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang sebelum ini mendakwa parti itu dilahirkan DAP.

Setiausaha Agungnya, Faiz Fadzil, berkata laporan itu susulan ucapan Muhammad Sanusi pada program Himpunan Ummah Selamatkan Malaysia di Kedah semalam.

Beliau mendakwa fitnah itu sudah lama dimainkan dan ia ditiupkan semula semalam yang menunjukkan betapa terdesaknya Pas untuk terus bermain dengan isu sentimen agama dan kaum.

“Saya tegaskan bahawa Amanah tidak ditubuhkan untuk melawan Pas dan penubuhan Amanah bebas daripada pengaruh mana-mana parti termasuk DAP, seperti mana yang selalu difitnahkan Pas.

Amanah ditubuhkan atas desakan bekas ahli Pas dan rakyat sivil yang mahu melihat bahtera perjuangan Islam yang lebih progresif dan moderate. Amanah bukan Pas 2.0 dan akan terus berpolitik atas nilai,” kata Faiz dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Faiz, fitnah dan budaya songsang agama yang dibawa Pas perlu diperbetulkan kerana fitnah yang dibuat atas alasan agama dan kaum boleh membawa kepada sikap ekstrimisme.

Katanya, dua hari lalu seorang ustaz Pas memfitnah Amanah dengan dakwaan bahawa fitnah Amanah terhadap agama lebih besar dan bahaya.

“Beberapa pemimpin Pas acap kali memfitnah DAP ataupun pemimpin mereka dengan bersandarkan sentimen agama dan kaum bagi membina persepsi kepada umum bahawa DAP parti yang menentang Islam dan Melayu.

Jelas, siri-siri fitnah yang dibuat oleh Pas ini adalah satu serangan tersusun untuk melemahkan Amanah,” katanya sambil menegaskan antara tugas Amanah untuk menyelematkan umat Islam dan rakyat Malaysia daripada terus ditipu oleh permainan politik murahan Pas.

Menurut Faiz, sejak ditubuhkan sembilan tahun lalu, Amanah berjaya bergerak ke seluruh negara dengan menubuhkan 180 pertubuhan kawasan dan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dalam dua pilihan raya umum (PRU) bersama rakan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan kini Perpaduan.

“Amanah ditubuhkan untuk meneruskan perjuangan Islam yang kini sudah tergelincir jauh daripada kompas perjuangan Pas.

“Dasar perjuangan Islam jelas termaktub dalam Perlembagaan Amanah dan prinsip untuk menegakkan rahmat untuk semua kekal menjadi teras perjuangan Amanah,” katanya.

Nnnn

.

Related posts

Leave a Comment