Bukti Anwar tidak yakin raih sokongan

PAGOH 17 Dis. – Perjanjian permuafakatan antara gabungan parti politik membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak yakin mampu meraih sokongan majoriti Ahli Parlimen dalam sidang khas Dewan Rakyat yang akan berlangsung 19 Disember ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin berkata, perjanjian yang turut memaksa Ahli Parlimen mengosongkan kerusi sekiranya tidak menyokong Perdana Menteri dalam apa-apa usul juga, tidak pernah dilihat dalam mana-mana bentuk persefahaman atau undang-undang sebelum ini.

Muhyiddin berkata, beliau idak pernah lihat dalam mana-mana undang-undang perkara seperti itu dilaksanakan kecuali yang berkaitan dengan akta lompat parti yang mana kalau tidak sokong mesti gugurkan kedudukan dia sebagai Ahli Parlimen.

“Jadi saya lihat macam Perdana Menteri tidak berapa yakin usul percaya itu boleh diteruskan (kerana) sepatutnya ada asas kepercayaan kepimpinan parti untuk sokong, tetapi tidak adalah menyokong (sehingga) seberat itu.

“Saya fikir Ahli Parlimen sepatutnya tidak terasa dipaksa, ini tidak boleh dipaksa walaupun mereka dalam gabungan itu ada sefahaman,” katanya selepas Majlis Kesyukuran PN Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, di sini hari ini.

Semalam, empat gabungan politik menyatakan komitmen menyokong Kerajaan Perpaduan Malaysia di bawah pimpinan Anwar bagi mengelakkan ketidaktentuan politik pada masa depan.

Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan ditandatangani oleh Setiausaha Agung gabungan politik, iaitu Saifuddin Nasution Ismail (Pakatan Harapan),  Zambry Abdul Kadir (Barisan Nasional),  Loretto S Padua Jr (Warisan),   Alexander Nanta Linggi (Gabungan Parti Sarawak/GPS) dan Marsidi Manjun (Gabungan Rakyat Sabah/GRS).

Perjanjian kerjasama itu turut ditandatangani ketua gabungan, iaitu Anwar (PH), Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal; Pengerusi GPS, Abang Johari Tun Openg dan Pengerusi GRS, Hajiji Noor.

Antara perkara yang turut digariskan dalam dokumen perjanjian persefahaman itu adalah Ahli Parlimen di bawah Kerajaan Perpaduan Malaysia, yang tidak menyokong Perdana Menteri dalam apa-apa usul berkait usul percaya, pembekalan, atau apa-apa usul berbentuk prosedur, perlu mengosongkan kerusinya serta-merta.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, beliau telah mendengar pandangan daripada kumpulan peguam dan mendakwa MoU yang dimeterai semalam adalah tidak berperlembagaan.

“Saya diberitahu oleh sebahagian pendapat yang mana MoU semalam itu mungkin dari sudut undang-undang dikatakan tidak berperlembagaan, tidak berperaturan serta melanggar undang-undang (kerana) Ahli Parlimen ada hak kebebasan mereka dan itu ada dalam undang-undang.

“Maknanya kalau dia nak sokong, dia sokong lah dan kalau tidak pun ianya (jawatan) tidak tergugur. Kalau parti nak ambil tindakan disiplin itu soal lain, tetapi tidak perlu sehingga  harus berhenti atau mengosongkan kerusi,” tambahnya.

Sementara itu, gabungan PN akan bermesyuarat esok untuk membincangkan pendirian berhubung usul undi percaya yang akan berlangsung pada sidang khas 19 Disember ini.

“Saya fikir sebahagian kita atau semuanya mungkin tidak akan menyokong kedudukan PM, saya tidak boleh sebut lagi, tetapi (perkara) ini  akan dibincang dalam mesyuarat esok,” katanya.

Related posts

Leave a Comment