Perjanjian tidak berperlembagaan, tidak sah

SEPANG 17 Dis. – Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani oleh gabungan-gabungan parti dalam kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) semalam adalah bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata, Undang-undang anti lompat parti tidak menghalang hak dan kebebasan Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mengundi di Dewan Rakyat.

“Tidak ada mana-mana bahagian dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki seorang Ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusinya jika beliau tidak menurut arahan parti dalam pungundian mana-mana usul atau rang undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, hal ini dinyatakan dengan jelas dalam Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti.

Muhyiddin berkata, Butiran 21.3 dan 21.2 penyata ini menyebut:

21.3  Jawatankuasa mengambil maklum pandangan bahawa ADR (Ahli Dewan Rakyat) yang tidak mengundi mengikut arahan parti politik (crossing the floor) dianggap bertukar parti adalah tidak berperlembagaan kerana ADR mempunyai hak kebebasan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengundi di Dewan Rakyat.

21.4  Jawatankuasa bersetuju bahawa tindakan ADR yang mengundi bertentangan dengan arahan parti politik di Dewan Rakyat (crossing the floor) adalah tidak dianggap bertukar parti dan tidak terhenti menjadi ADR.

Maka, berdasarkan peruntukan dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas yang disebutkan di atas, beliau percaya Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani oleh parti-parti gabungan dalam kerajaan pimpinan PH adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Perjanjian yang tidak berperlembagaan ini menunjukkan seolah-olahnya Perdana Menteri tidak yakin beliau akan mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Sekiranya beliau yakin, maka tidak perlulah beliau mengambil tindakan yang tidak berperlembagaan ini,” katanya.

Muhyiddin juga bimbang sekiranya perjanjian ini dianggap sah, maka kerajaan pimpinan PH akan memaksa Ahli-Ahli Dewan Rakyat mereka mengundi usul-usul atau rang undang-undang lain pada masa akan datang, termasuk yang berkaitan dengan pindaan perlembagaan.

“Ini kerana, sepertimana yang didakwa oleh Perdana Menteri, beliau telah pun mempunyai sokongan 148 Ahli Dewan Rakyat, iaitu genap majoriti 2/3 Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang membolehkan pindaan perlembagaan dibuat.

“Sekiranya perjanjian persefahaman yang berunsur kediktatoran (dictatorial) ini dianggap sah, maka tidak mustahil pindaan perlembagaan yang bertentangan dengan naluri (conscience) Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan nilai masyarakat di negara ini akan diluluskan oleh Dewan Rakyat secara paksa,” katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia tentunya tidak mahu pilihan raya yang diadakan secara bebas, adil dan demokratik akhirnya menghasilkan sebuah kerajaan yang tidak demokratik.

Related posts

Leave a Comment