Tanah runtuh hempap tapak perkhemahan

HULU SELANGOR 16 Dis. – Kejadian tanah runtuh awal pagi ini di sebuah tapak perkhemahan berhampiran Father Organic Farm, menyebabkan kira-kira 100 orang yang berkhemah di situ dikhuatiri menjadi mangsa

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 2.24 pagi.

Bagaimanapun, Norazam berkata, maklumat daripada pasukan perubatan mendapati seramai 31 mangsa berjaya ditemukan dan berada dalam keadaan selamat.

Beliau berkata, sepasukan 20 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Rawang dan Genting dikejarkan ke lokasi kejadian.

Berdasarkan laporan awal, kejadian tanah runtuh yang berlaku di tepi jalan berhampiran Father Organic Farm menghempap sebuah tapak perkhemahan.

Ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan satu ekar (0.4 hektar).

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dilakukan termasuk menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas.

“Turut digerakkan ke lokasi kejadian adalah Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM),” katanya.

Related posts

Leave a Comment