14 juta tan bijirin dieksport dari Ukraine

GENEVA: Lebih 14 juta tan bijirin telah dieksport dari Ukraine di bawah perjanjian Laut Hitam dengan Rusia , yang secara tidak langsung mengurangkan harga makanan global, demikian menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketua Agensi Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD), Rebeca Grynspan, berkata tindakan itu mengurangkan harga makanan dunia selama tujuh bulan berturut-turut.

“Kami telah melepasi 14 juta tan makanan yang telah dikeluarkan melalui Inisiatif Bijirin Laut Hitam (BSGI),” kata Grynspan di PBB di Geneva.

Ukraine antara pengeluar bijirin terkemuka dunia, telah diceroboh oleh negara jiran Rusia pada Februari lalu. Dua perjanjian yang diuruskan oleh PBB telah ditandatangani pada 22 Julai.

BSGI adalah berkenaan eksport bijirin Ukraine yang disekat oleh perang Russia. Ia sepatutnya tamat pada 19 November tetapi dilanjutkan selama 120 hari lagi.

Ia telah membantu meredakan krisis makanan global yang disebabkan oleh pencerobohan itu.

Perjanjian kedua, antara Moscow dan PBB, bertujuan untuk memudahkan eksport makanan dan baja Russia, yang dikecualikan daripada sekatan Barat yang dikenakan ke atas Moscow.

Grynspan menolak dakwaan bahawa eksport bijirin dari Ukraine berakhir di negara kaya dan bukan di negara sedang membangun.

Katanya,  eksport bijirin untuk ternakan perlu dibezakan daripada yang bertujuan untuk kegunaan manusia.

“Majoriti makanan haiwan tidak pernah pergi ke negara sedang membangun: ia lebih merupakan import negara maju.

“Dua pertiga daripada eksport gandum akan pergi ke negara sedang membangun, yang telah mendapat manfaat secara meluas daripada perjanjian Laut Hitam dari segi bijirin untuk kegunaan manusia.” katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa jumlah eksport bijirin kekal di bawah paras 2021 dan menyatakan kebimbangan mengenai potensi krisis baja tahun depan, di mana harga baja yang tinggi boleh menyebabkan krisis ketersediaan pada 2023.

Related posts

Leave a Comment