Gagal sokong kerajaan ‘kerusi hilang’

PUTRAJAYA 16 Dis. – Usul Percaya dan Rang Undang-undang Perbekalan antara lima perkara dipersetujui oleh gabungan politik yang memeterai Permuafakatan Antara Gabungan di Bawah Kerajaan Perpaduan petang ini.

Melalui perkara berkenaan, ia menuntut setiap parti dan pihak mengundi untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan/atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan, mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Ia juga menetapkan setiap parti dan pihak perlu bertanggungjawab untuk menguruskan secara dalaman parti masing-masing, bagi memastikan sokongan parlimen untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan Malaysia dalam sebarang undian yang membawa kesan kepada keabsahan Kerajaan Perpaduan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, semua gabungan yang menandatangani persefahaman itu juga bersetuju ia perlu memastikan setiap Ahli Parlimen mereka mengundi seperti klausa 4(a) dalam perjanjian berkenaan.

Sekiranya berlaku kegagalan, keengganan atau kecuaian mana-mana Ahli Parlimen dalam gabungan berkenaan berbuat demikian, perjanjian itu menyatakan ia perlu diambil kira sebagai pelanggaran tanggungjawab Ahli Parlimen secara individu kepada parti itu.

Justeru, itu dianggap sebagai perletakan jawatan dan/atau pemberhentian daripada menjadi Ahli Parlimen, manakala kerusi Ahli Parlimen terbabit dikosongkan seperti dalam kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

Related posts

Leave a Comment