Sumbangan RM10,000 kepada mangsa meninggal

HULU SELANGOR 16 Dis. – Kerajaan memberi sumbangan RM10,000 untuk setiap mangsa yang meninggal dunia dalam runtuhan tanah di Batang Kali manakala wang ihsan RM1,000 kepada ketua isi rumah mangsa yang tidak terbabit dengan kematian.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata bantuan itu akan diselaraskan oleh kerajaan Selangor dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Untuk (keluarga) mangsa yang meninggal dunia, kita akan segerakan bantuan RM10,000 untuk permulaan dan RM1,00 bagi setiap keluarga mangsa yang lain.

Saya percaya hal ini akan dapat diselaraskan oleh kerajaan negeri, NGO dan rakan-rakan (lain) membantu,” katanya di tempat bencana itu malam ini.

Anwar turut menyatakan penghargaan kepada semua petugas terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat bencana Batang Kali.

Dana berkenaan akan disalurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA) melalui Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor.

Anwar akan mengarahkan pegawai bertanggungjawab menguruskan bantuan itu esok.

“Tetapi saya lebih bersetuju untuk perkara ini diselaraskan oleh pasukan di bawah kerajaan negeri Selangor dan pegawai-pegawai di sini dapat mengendalikan dengan lebih baik untuk pihak kerajaan Persekutuan.

“Kita akan dahulukan esok, Insya-Allah saya serah kepada Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) untuk uruskan sebaiknya,” katanya.

Anwar yang tiba kira-kira pukul 9.30 malam diberikan taklimat berhubung operasi oleh agensi penguatkuasaan, sebelum meninjau keadaan di runtuhan.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Amirudin dan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani.

Related posts

Leave a Comment