KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga China berusia 39 tahun, disahkan sebagai pesakit ke-19 wabak Covid-19 di negara ini menjadikannya sebagai kes yang ke-19.
Wanita terbabit adalah anak kepada kes ke-16 dan juga rakan kepada kes ke-14 yang kedua-duanya sedang menerima rawatan di wad isolasi Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa bersama empat yang lain tiba di Malaysia dari Wuhan pada 25 Januari lalu.
“Sebaik sahaja dua kes terdahulu dikesan positif iaitu kes-14 dan kes-16, masing-masing pada 5 Februari dan 7 Februari lalu, mangsa diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan.
“Hasil pemantauan secara berterusan ke atasnya oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), mendapati mangsa mula mengalami gejala demam dan batuk semalam dan dirujuk ke HKL untuk dimasukkan ke wad bagi menerima rawatan dan siasatan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, ujian pengesajan dan pengesahan COVID-19 yang dilakukan terhadapnya mendapati mangsa positif wabak itu pada hari sama.
Katanya, mangsa kini dimasukkan ke wad isolasi di HKL dan berada dalam keadaan stabil.
“Sehingga hari ini, sebanyak 19 kes direkodkan iaitu sembilan kes dalam kalangan Pesakit Bawah Pemantauan (PUI), lapan dalam kalangan kontak dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang melalui Misi Bantuan Kemanusiaan.
“Daripada jumlah itu, 13 kes membabitkan warga China dan enam lagi membabitkan rakyat tempatan,” katanya.
Bagi kontak rapat, sebanyak 223 individu sudah dikenal pasti dan sehingga kini aktiviti pengesanan kontak masih diteruskan.