“Jika ada neraca yang boleh menyukat kecintaan ini”

KUALA LUMPUR 15 Dis. – Bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Annuar Musa mengesahkan menerima surat pemecatannya daripada Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan, Isnin lalu dan tidak akan merayu keputusan parti melucutkan keahliannya minggu lalu.

Annuar berkata, surat terbabit hanya memaklumkan seksyen dalam Perlembagaan UMNO berkaitan pemecatan berkenaan tanpa menyatakan secara khusus sebab keputusan itu dikenakan terhadapnya.

“Jika hendak merayu, kita kena tahu apa kesalahan itu, barulah kita menilai sama ada kita salah atau tidak. Kalau kita tidak salah, kita merayulah atas perkara yang kita tidak salah.

Bagaimanapun hingga hari ini, saya tidak tahu (apa kesalahan). Saya tiada pertuduhan dan tidak pernah dipanggil, ditanya mahupun diminta memberi penjelasan lisan atau bertulis. Malah, dipanggil secara sahabat pun tiada, sedangkan dalam MKT (Majlis Kerja Tertinggi) (UMNO) itu semua kawan saya.

“Tiada sesiapa yang bertanya saya apa-apa. Tahu tahu (diberi) surat sekeping, pecat (saya). Jadi, saya nak merayu apa?” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Annuar ialah antara tiga pemimpin akar umbi parti itu yang dipecat keahlian dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Khamis lalu.

Ahmad sebelum ini dipetik berkata, MKT UMNO mengambil tindakan itu mengikut Fasal 10.6 perlembagaan yang memberi hak kepada parti untuk melucutkan keahlian mana-mana ahlinya. Ia termasuk jika seseorang ahli UMNO itu terbukti melanggar Fasal 20.9 perlembagaan parti serta perkara mengenai tataetika ahli.

Dua lagi ahli UMNO yang dilucutkan keahlian ialah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Shamsiah Yasin yang juga isteri bekas Ketua UMNO bahagian itu, Dr Shahidan Kassim, dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Fatimah Kassim yang juga isteri penyandang kerusi Parlimen Maran, Ismail Abd Muttalib.

Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh berkata, beliau sudah menjawab surat pemecatan itu, dua hari lalu, yang ditujukan terus kepada Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, sekali gus berharap akan mendapat jawapan balas.

“Saya menyebut, kita masing-masing ada kecintaan kepada parti. Jika ada neraca yang boleh menyukat kecintaan ini, kita boleh melihat cinta siapa yang lebih berat timbangannya.

“Jika ada cupak yang boleh menyukat kasih sayang saya kepada UMNO, berbanding kasih Datuk Seri (Ahmad Zahid), pasti kita akan tahu kasih dan setia siapa yang lebih banyak kepada UMNO.

“Malangnya, Datuk Seri lah neraca dan cupaknya. Jadi, Datuk Seri (didakwa) sudah menafikan kasih dan kesetiaan orang lain kepada UMNO,” katanya.

Selepas tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Annuar berkata, beliau kekal setia, malah membantu kempen Barisan Nasional (BN) di Parlimen Padang Serai.

“Ramai orang lain sangat agresif mengkritik Presiden (UMNO) dan ada yang begitu berani menandatangani SD (Akuan Berkanun) kepada individu tertentu, yang bercanggah dengan Presiden tetapi tidak dipecat.

“Saya berhati-hati, tidak mengkritik atau menegur Presiden, tiba-tiba dipecat. Pada saya, itu perancangan Allah SWT,” katanya.

Annuar juga memaklumkan buat masa ini, tidak akan terbabit sebarang aktiviti politik, namun tidak pasti sama ada kembali menyertai politik pada masa depan.

“Saya bukan orang yang hidup mati hendak jadi calon (pilihan raya), sebab saya sudah lapan kali menjadi calon. Saya menjadi Ketua Bahagian selama 35 tahun, paling lama dalam UMNO,” katanya.

Related posts

Leave a Comment