MN kekal pertubuhan bukan kerajaan

KUALA LUMPUR 15 Dis. – Muafakat Nasional (MN) akan kekal sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan tidak terbabit atau menyertai mana-mana gabungan gerakan politik, kata Presidennya, Annuar Musa.

Beliau berkata MN akan memainkan peranan menanam nilai serta kefahaman kenegaraan yang berasaskan tiga prinsip, iaitu kasih sayang, perpaduan dan saling menghormati.

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu menjelaskan, keahlian MN terbuka kepada semua, termasuk ahli parti politik, dan sudah menerima penyertaan hampir mencecah 20,000 orang, setakat hari ini.

Katanya, antara yang menjadi ahli dan dilantik sebagai Ahli Dewan Tertinggi MN ialah  Tengku Idris Sultan Abu Bakar; bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang, Noh Omar; pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz; dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Redzuan Md Yusof.

Selain itu, penyanyi, Jamal Abdillah, dan pelakon, Eizlan Yusof serta Ummi Nazeera Nurhidayah Zainul Abidin.

“Harus ada usaha tersusun untuk melatih rakyat, terutama generasi muda supaya dapat memahami… yang mana jika rasa bertanggungjawab mahu membangunkan negara, kita menanam nilai ini dengan cara teratur.

Di sinilah kita rasa MN boleh memainkan peranan, di mana anggotanya adalah daripada pelbagai parti dan sebagaimana NGO lain, kita melakukan sekadar yang termampu.

“Kita tidak akan menjadi satu badan yang glamor, kaya-raya, kuat serta mengancam sesiapa. Kita mahu mengambil pendekatan positif dan konstruktif,” katanya pada sidang media di pejabat MN, di sini, hari ini.

Annuar berkata, antara inisiatif awal MN ialah melancarkan Sekolah Memahami Pemahaman Negara (SEMPURNA) yang meliputi semua elemen nasionalisme tinggi berteraskan prinsip Rukun Negara.

Ditanya sama ada MN akan menyertai Gerakan Tanah Air (GTA) yang menghimpunkan parti politik dan NGO pula, Annuar berkata, MN tidak akan memasuki mana-mana gabungan politik.

“Itu pendirian kita. Kalau kita buat begitu, ia akan melanggar (peraturan) Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Jadi, kita akan kekal sebagai NGO. Kita bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan atau sesiapa saja demi kebaikan negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment