Lantikan politik ditamatkan serta merta

PUTRAJAYA 15 Dis. – Tular surat yang mengatakan Kabinet dikatakan sudah memutuskan bahawa pengerusi dan ahli lembaga pengarah lantikan politik ditamatkan perkhidmatan dengan serta merta.

Surat bertarik 14 Disember 2022 itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan ditujukan kepada Ketua-ketua Setiausaha Kementerian.

Menurut surat berkenaan,  jawatan tersebut melibatkan badan berkanun Persekutuan, syarikat menteri kewangan (Diperbadankan), syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.

Surat berkenaan turut meminta kerjasama semua Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan untuk melaksanakan keputusan Jemaah Menteri itu.

Ini bukan kali pertama pertukaran pentadbiran Persekutuan mengambil tindakan berkenaan apabila pemegang jawatan lantikan politik ditamatkan ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir pada 2018.

Sebelum ini juga ada laporan menyebut pemimpin PH mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang melantik Ahli Parlimen Parit ketika itu, Mohd Nizar Zakaria, sebagai Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin, dikritik teruk oleh PH yang dikatakan membuat tindakan terdesak berkenaan bagi mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen UMNO dan Pas dengan menawarkan jawatan berkenaan.

Menurut sumber itu, keputusan penamatan jawatan lantikan politik dibuat selepas perbincangan panjang lebar dan ada menteri yang mengakui ada sebahagian lantikan berkenaan yang cekap laksanakan tugas.

Justeru, isu yang hendak diambil perhatian ialah bagaimana menentukan mereka yang cekap dan yang tidak berfungsi.

“Akhirnya keputusan dibuat secara menyeluruh iaitu ditamatkan semua khidmat lantikan politik,” katanya.

Related posts

Leave a Comment