GPS beri jaminan sokong Anwar

KUCHING 15 Dis. – Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi jaminan akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, kata Setiausaha Agungnya, Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata jaminan itu juga akan diterjemahkan jika usul undi percaya kepada Perdana Menteri diadakan pada sidang Dewan Rakyat, Isnin depan.

“Sokongan GPS terhadap kerajaan ketika ini turut mengambil kira kepentingan dan hak Sarawak, termasuklah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)L Bagi GPS, yang penting adalah hak Sarawak terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat kepemimpinan tertinggi gabungan itu, hari ini, yang dipengerusikan Pengerusi GPS, yang juga Premier Sarawak, Abang Johari Tun Openg.

Nanta berkata, satu perjanjian persefahaman bagi menyokong Kerajaan Perpaduan yang membabitkan semua gabungan parti yang membentuknya, akan dimeterai petang esok.

Beliau berkata, pada mesyuarat itu, kepemimpinan tertinggi GPS memperhalusi draf perjanjian berkenaan.

“Objektif utama perjanjian ini adalah supaya semua parti yang bersama dalam Kerajaan Perpaduan ini bersatu dalam dan memberi kepercayaan kepada Perdana Menteri,” katanya.

Turut hadir dalam mesyuarat ini adalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Premier merangkap Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr. Sim Hui Kian, Timbalan Premier merangkap Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merangkap Presiden Parti  Demokratik Rakyat (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum dan Ketua Whip GPS merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.8 Satok, Datuk Ibrahim Baki.

(Foto FB Jabatan Penerangan Sarawak)

Related posts

Leave a Comment