Dua kapal selam Singapura dilancar

SINGAPURA 15 Dis. – Dua kapal selam baharu Angkatan Laut Republik Singapura (RSN), Illustrious dan Impeccable, dilancarkan di limbungan kapal Thyssenkrupp Marine Systems (TKMS) di Kiel, kira-kira 90 kilometer dari Hamburg, di utara Jerman.

Kapal selam itu adalah yang kedua dan ketiga daripada empat kapal selam kelas Invincible buatan Jerman yang direka khas untuk RSN.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam satu paparan Facebook mengenai pelancaran itu semalam, berkata kapal selam itu akan membawa keupayaan moden dan maju kepada RSN..

“Singapura adalah sebuah negara maritim dan RSN mempunyai misi penting untuk memastikan Talian Komunikasi Laut kami terbuka.

“Jurutera dan saintis pertahanan kami bekerjasama rapat dengan tkMS (Thyssenkrupp Marine Systems) berhubung reka bentuk dan sistem untuk memenuhi keperluan kami,” katanya.

Kapal selam itu juga disesuaikan bagi sekitaran operasi Singapura, terutama dalam perairan cetek dan perairan Singapura yang lebih masin yang menyebabkan lebih banyak kakisan berbanding air tawar.

Kapal selam baru Jenis 218SG yang pertama dan dinamakan Invincible dilancarkan pada awal 2019 oleh Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen dan kapal selam keempat yang dinamakan Inimitable masih dibina.

Dalam kiriman Facebook itu juga, Hsien Loong menyatakan rasa gembira berada di pelancaran dua kapal selam itu yang turut dihadiri Canselor Jerman, Olaf Scholz.

Beliau berkata kehadiran Scholz mencerminkan persahabatan antara Singapura dengan Jerman serta kekuatan dan hubungan pertahanan yang mendalam antara kedua-dua negara.

Turut hadir Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan selain pegawai dari Pejabat Perdana Menteri (PMO), Kementerian Ehwal Luar (MFA), Kementerian Pertahanan (Mindef) dan RSN.

(Foto FB Vivian Balakrishnan)

Related posts

Leave a Comment