4 ahli Parlimen perlu kosong kerusi

SEPANG 12 Dis. – Empat Ahli Parlimen Bersatu Sabah yang mengumumkan keluar parti itu, mesti mengosongkan kerusi masing-masing, jika peletakan jawatan mereka diterima, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Dr Wan Junaidi yang terbabit dalam penggubalan undang-undang anti-lompat parti,

menegaskan pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan di kawasan Parlimen terbabit yang melibatkan Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Memetik laporan portal FMT, beliau berkata, tidak penting sama ada empat Ahli Parlimen itu bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau mewakili mana-mana gabungan lain, kerana ia hanya relevan sama ada mereka meninggalkan parti mereka.

Beliau juga menolak cadangan bahawa Bersatu Sabah adalah entiti berasingan daripada Bersatu Persekutuan kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan tidak akan membenarkan permohonan sedemikian.

“Saya merangka undang-undang itu untuk melarang perkara seperti ini berlaku dan untuk mewujudkan kestabilan politik dalam negara,” katanya.

Sebelum ini, pemimpin Bersatu Sabah Hajiji Noor mengumumkan mereka semua ADUN Bersatu dan empat ahli Parlimen meninggalkan parti itu dan akan menubuhkan parti tempatan baharu.

Wan Junaidi berkata, peletakan jawatan empat Ahli Parlimen itu perlu diterima secara rasmi Setiausaha Agung Bersatu,  Hamzah Zainudin, untuk mengesahkan mereka telah keluar parti.

Mengikut undang-undang anti-lompat parti, yang dibuat melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka melompat ke parti lain.

Pengecualian untuk Ahli Parlimen yang dipecat parti atau jika parti mereka dibubarkan atau dibatalkan pendaftaran.

Wan Junaidi berkata, mengikut prosedur, Ahli Parlimen akan memaklumkan Speaker Dewan Rakyat berlaku kekosongan dan selepas pengesahan, beliau akan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya kerusi itu diisi dalam masa 60 hari.

Related posts

Leave a Comment