Kronologi di istana sebelum angkat sumpah

PUTRAJAYA 11 Dis. – Selepas dua minggu dilantik sebagai Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menjelaskan kronologi dan titah di dalam Istana Negara sebelum beliau mengangkat sumpah.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan demikian supaya tidak timbul kekeliruan berhubung isu terbabit sehingga menyinggung kedudukan Raja-Raja Melayu.

“Semalam ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, baginda nyatakan ada baiknya jika Perdana Menteri jelaskan supaya jangan timbul kekeliruan, terutamanya yang menyinggung kedudukan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri bersama Ulama dan Asatizah di Seri Perdana di sini hari ini.

Anwar menjelaskan, dalam isu pembentukan kerajaan sebaik Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berakhir, Yang di-Pertuan Agong mengambil tindakan selangkah di depan untuk mengadakan Sidang Khas Majlis Raja-Raja Melayu.

Yang di-Pertuan Agong mengambil pendekatan mengikut Perlembagaan walaupun ini dipertikai oleh sesetengah tokoh Melayu dan Islam.

Menurut Anwar, penjelasan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang sempat beliau menghadap, adalah menyatakan daripada awal tidak dipertikaikan bahawa parti yang memperoleh kedudukan terbesar akan mendapat keutamaan.

Pada ketika itu, parti menang dengan kerusi terbesar adalah Pakatan Harapan (PH) sebanyak 83 kerusi dan diikuti oleh Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi Parlimen.

Seterusnya ada usaha sambilan untuk mendapatkan akuan bersumpah (SD) dan ia terus berlaku dalam tempoh ditetapkan Yang di-Pertuan Agong, iaitu sehingga jam 2 petang pada 21 November lalu.

Beliau berkata, berapa pun jumlah SD yang diperoleh itu hanya akan ditetapkan setelah waktu diberikan berkenaan dimuktamad.

“Seperti mana dalam perlumbaan dia boleh potong kita di ’round’ (pusingan) pertama. Kita potong dia ’round’ (pusingan) ketiga tapi yang pentingnya ialah garisan penamat.

“Apabila di garis penamat, saya perolehi jumlah terbesar … kerana orang beri pengakuan sebelumnya, telah menarik balik (sokongan), sebelum tempoh 2 petang,” katanya.

Belau juga menegaskan usul Undi Percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 19 Disember diadakan kerana beliau mahukan mandat yang lebih jelas untuk memimpin negara.

“Rasa perlu untuk adakan undi percaya kerana jumlah jelas dari Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti kecil lain.

“Saya jawab ampun Tuanku, ini bukan soal peraturan dan undang-undang dibangkitkan, tapi kerana saya mahu memimpin dengan mandat yang jelas. Patik yakin perolehi majoriti.

“Andai kata tidak perolehi, patik akan tunduk suara rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment