TEL AVIV – Hanya parti Likud yang kuat mampu menghalang gabungan pembangkang daripada mengambil alih pemerintahan negara, kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Menerusi hantaran di platform X, Netanyahu memberi reaksi terhadap kerjasama itu, yang mula menyelaraskan strategi bagi menumbangkan kerajaannya menjelang pilihan raya Knesset pada 27 Oktober.
Netanyahu mendakwa pemimpin parti Yashar, Gadi Eisenkot, berusaha membentuk kerajaan bersama Lapid, Yair Golan, parti Bennett 2026, Yisrael Beiteinu dan beberapa parti Arab.
Lima pemimpin pembangkang dilaporkan mengadakan pertemuan di kediaman Ketua Pembangkang, Yair Lapid, di Tel Aviv bagi menyelaraskan pendekatan mereka sebelum pilihan raya.
Pertemuan itu disertai Lapid yang mengetuai Yesh Atid, Naftali Bennett (Bennett 2026), Avigdor Lieberman (Yisrael Beiteinu), Eisenkot (Yashar) dan Yair Golan daripada parti Democrats.
Lapid turut berkongsi gambar pertemuan serta dokumen yang menggariskan prinsip kerjasama antara parti-parti berkenaan sehingga pilihan raya dan selepas proses pengundian.
Menurut dokumen itu, setiap pemimpin parti berikrar meningkatkan kadar keluar mengundi dalam kalangan penyokong masing-masing serta menarik sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat bagi memperoleh majoriti dan membentuk kerajaan baharu.
Mereka juga bersetuju menubuhkan tiga kumpulan kerja bersama dalam tempoh 48 jam di mana Kumpulan pertama memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan penyertaan pengundi dan memastikan integriti proses pilihan raya.
Kumpulan kedua merangka garis panduan asas kerajaan yang mahu dibentuk pembangkang, termasuk cadangan menubuhkan suruhanjaya siasatan rasmi berhubung serangan 7 Oktober 2023 serta menggubal perlembagaan baharu manakala Kumpulan ketiga pula akan menyelaraskan strategi media dan menangani apa yang disifatkan sebagai penyebaran berita palsu serta kempen fitnah.
Bekas perdana menteri, Naftali Bennett, dalam kenyataannya berkata beliau yakin gabungan pembangkang mampu memenangi 63 kerusi dan bekerjasama untuk membawa perubahan kepada Israel.
Nnnn
