Hanya melihat ‘rumah pusaka’ terbakar

PUTRAJAYA 9 Dis. –  Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa meluahkan isi hatinya yang tersirat dipercayai berhubung pemecatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Ketereh dan ahli parti.

Menerusi laman Facebooknya pada pagi Jumaat, Annuar berkata, beliau kini hanya mampu melihat sebuah rumah pusaka yang terbakar.

“Malam Jumaat, saya bermimpi,Rumah pusaka saya diami terbakar. Saya syak main switch (suis utama) sudah short circuit (litar pintas) atau wayarnya terputus,” tulisnya.

Menurutnya, ramai penghuni telah melarikan diri meninggalkan rumah yang terbakar atau dibakar.

“Saya sayang rumah itu. Saya cuba memadam kebakaran supaya jangan lebih ramai penghuninya lari.

“Ketika api masih marak dan ramai yang terus lari meninggalkan rumah, tiba tiba saya ditarik keluar dari api yang membakar.

“Kini saya hanya mampu melihat kebakaran dari luar,” katanya.

Annuar berkata, meskipun mempunyai rasa sangat sayang terhadap rumah tersebut, beliau hanya mampu berdoa.

“Ya Allah SWT kepada Mu aku berserah dan kepada Mu jua aku meminta pertolongan. Kau selamatkanlah ‘rumah’ yang sedang terbakar itu… Amin ya Rabb,” tulisnya.

Terdahulu, Annuar antara tiga pemimpin parti dilapor dipecat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam Jumaat.

Related posts

Leave a Comment