Sah UMNO pecat Annuar Musa

PONTIAN 9 Dis. – UMNO mengesahkan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Annuar Musa, antara tiga pemimpin akar umbi parti itu dipecat keahlian masing-masing dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam tadi.

Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan, berkata MKT UMNO mengambil tindakan itu mengikut fasal 10.6 Perlembagaan, yang memberi hak kepada parti untuk melucutkan keahlian mana-mana ahlinya.

Beliau berkata, ia termasuk jika seseorang ahli UMNO itu terbukti melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan parti serta perkara mengenai tata etika ahli.

“Dua lagi ahli UMNO yang dilucutkan keahlian adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin, yang juga isteri bekas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Shahidan Kasim serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim, yang juga isteri penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Pemecatan mereka berkuat kuasa serta merta dengan surat rasmi perlucutan keahlian akan dihantar hari ini,” katanya selepas meninjau Program Khatan Perdana Masjid Kampung Jawa Ulu, di sini, hari ini.

Shamsiah dan Fatimah bulan lalu dilaporkan digantung sementara seluruh jawatannya selepas didapati terbabit secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sementara, Annuar sebelum ini dilihat lantang mengkritik kepimpinan Presiden UMNO,  Dr Ahmad Zahid Hamidi, khususnya berkaitan usaha jajaran baharu antara Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).

Related posts

Leave a Comment